Menghadiri sekolah merupakan salah satu proses untuk membina masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bertamadun. Begitu juga dengan aktiviti kemasyarakatan seperti majlis gotong-royong di kawasan perumahan masing-masing. Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan aktiviti kemasyarakatan dalam masyarakat sebagai panduan.
Penglibatan aktif seseorang terutamanya rakyat Malaysia dalam aktiviti kemasyarakatan adalah sangat penting. Sebagai contoh apabila berlakunya bencana alam atau kecemasan, penglibatan aktif rakyat Malaysia secara sukarela sama ada secara individu, agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) amatlah diperlukan. Sumbangan dari segi tenaga dan khidmat sosial merupakan satu sumbangan yang bermakna selain daripada bantuan kewangan.
Contoh Karangan Kepentingan Aktiviti Kemasyarakatan Dalam Masyarakat
Budaya yang telah diamalkan oleh kebanyakan masyarakat di Malaysia ini perlu diteruskan dan digalakkan di setiap peringkat. Pihak sekolah dan kerajaan hendaklah memainkan peranan dengan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang dapat memberi keseronokan serta manfaat kepada pelajar dan juga rakyat Malaysia secara amnya.
Di bawah dikongsikan contoh karangan kepentingan aktiviti kemasyarakatan dalam masyarakat sebagai rujukan untuk para pelajar.
Isi-isi penting
- Merapatkan hubungan silaturrahim
- Memupuk sikap kerjasama
- Melahirkan nilai toleransi
- Memupuk perpaduan
- Menjamin keselamatan setempat
- Menarik minat pelancong asing
- Memudahkan sesuatu pekerjaan untuk diselesaikan
Pendahuluan
Dalam kehidupan, kita idak boleh lari daripada menjadi seorang anggota masyarakat. Sejak kecil lagi kita akan bergaul dengan rakan setempat atau seusia di sekolah dan bermasyarakat sehingga kita meninggalkan dunia ini. Tamadun-tamadun manusia terdahulu telah memberikan contoh sama ada baik atau buruk yang diperoleh daripada hidup bermasyarakat. Namun, nilai bermasyarakat cukup penting bagi mengekalkan kesejahteraan dan keamanan sejagat.
Aktiviti kemasyarakatan adalah perkara yang dilaksanakan oleh setiap anggota masyarakat untuk mencapai sesuatu objektif. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang kerap diamalkan oleh masyarakat kita untuk membersihkan sesuatu kawasan atau premis bangunan. Aktiviti-aktiviti ini signifikan untuk kita masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Oleh yang demikian, mari kita huraikan kepentingan aktiviti kemasyarakatan dalam masyarakat untuk makluman semua.
Isi 1
Kepentingan pertama dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim. Tak kenal maka tak cinta, perumpamaan yang bermaksud jika kita tidak mengenali ahli masyarakat seperti jiran tetangga kita, bagaimana kita hendak mencintai mereka sebagai ahli masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam era masyarakat sibuk bekerja dari awal pagi sehingga waktu malam dan tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama ahli masyarakat.
Penganjuran aktiviti masyarakat pada hujung minggu merupakan salah satu contoh terbaik untuk melibatkan seramai mungkin anggota masyarakat setempat. Setiap di antara kita boleh melibatkan diri dan saling berkenalan antara satu sama lain. Perhubungan baru yang dijalinkan pasti akan menambah keharmonian serta pengetahuan yang baik untuk satu sama lain. Intihannya, aktiviti kemasyarakatan penting sebagai jambatan yang menghubungkan ahli-ahli masyarakat.
Isi 2
Pada masa yang sama, aktiviti kemasyarakatan dalam masyarakat penting untuk memupuk sikap kerjasama dalam diri semua anggota masyarakat. Hal ini kerana, apabila kita diberi tugasan dalam aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong, kita perlu bekerjasama untuk memudahkan tugasan tersebut. Misalnya, golongan muda diarahkan untuk melakukan pekerjaan berat seperti membuang sampah, dan membersihkan longkang.
Manakala anggota masyarakat yang berusia ditugaskan untuk menyapu dan memberikan koordinasi yang baik. Apabila pendedahan ini diberikan, golongan muda khususnya akan mempelajari nilai kerjasama dan nilai murni yang lain untuk digunakan dalam kehidupan mereka. Secara tidak langsung, satu pengajaran di luar bilik darjah yang berguna untuk mereka di samping masa lapang dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat. Izharnya, sikap kerjasama akan dibentuk sekiranya kita melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.
Isi 3
Selain itu, nilai toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain adalah kepentingan yang dapat diperoleh daripada aktiviti kemasyarakatan. Mutakhir ini, kita sering kali dipaparkan dengan isu tular sesetengah anggota masyarakat yang biadab. Daripada memarahi pengguna jalan raya yang tidak bersalah sehingga menjawab teguran orang yang lebih berusia pada nada yang tidak sopan. Perkara ini walaupun remeh tetapi perlu diberi perhatian untuk membentuk masyarakat berminda kelas pertama.
Dengan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang berunsurkan kebajikan khususnya, ia dapat memberi impak yang baik kepada anggota masyarakat. Membantu mereka yang dalam kesusahan akan menimbulkan sifat simpati dan empati sekaligus memupuk nilai toleransi yang penting untuk hidup bermasyarakat. Bak kata pepatah, cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Tuntasnya, aktiviti kemasyarakatan penting untuk memupuk nilai hormat-menghormati dan tolak ansur dalam diri setiap anggota masyarakat.
Isi 4
Akhir sekali, kepentingan aktiviti kemasyarakatan untuk kita sebagai rakyat Malaysia adalah memupuk perpaduan. Apabila nilai-nilai seperti hormat-menghormati, toleransi dan kerjasama telah dipupuk, perpaduan antara satu sama lain akan mudah untuk diutuhkan. Perbezaan yang dihadapi sebelum ini boleh diketepikan demi mencapai objektif sesuatu aktiviti kemasyarakatan.
Golongan muda dan juga tua yang baru mengenali anggota masyarakat berlainan kaum, agama dan latar belakang akan mempelajari budaya serta adat masing-masing. Indikasinya, masyarakat akan lebih menghormati dan meraikan perbezaan tersebut demi kesejahteraan negara yang utama. Ibarat aur dengan tebing, kita bersama-sama harus menyertai aktiviti kemasyarakatan demi mengekalkan perpaduan yang terjalin sekian lama dan memupuk generasi baharu akan kepentinganya.
Penutup
Kesimpulannya, aktiviti kemasyarakatan mempunyai banyak kepentingan untuk masyarakat terutamanya kita di Malaysia. Budaya ini wajar diteruskan di setiap peringkat sebagai langkah untuk kita sentiasa bermuhasabah diri dan mensyukuri nikmat keharmonian yang dicapai sejak zaman nenek dan moyang kita lagi. Polemik perkauman dan perbezaan warna kulit seharusnya tidak menjadi isu lagi pada abad ke dua puluh satu ini. Era globalisasi dan perkongsian maklumat tanpa had menjadikan kita untuk menerima serta merai perbezaan. Seterusnya, melonjak ketamadunan manusia ke arah lebih baik. Semoga masyarakat kita lebih teruja untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan demi manfaat yang memberi seribu satu sumbangan kepada diri sendiri dan juga negara.
Related : semangat kejiranan, untuk mengelakkan, tanah air, kehidupan masyarakat, pihak kerajaan, hidup berjiran, malaysia merupakan negara, memupuk semangat, masyarakat berbilang kaum, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong, kanak kanak,