Isu semasa adalah salah satu tema yang lazim digunakan sebagai soalan penulisan karangan Bahasa Melayu. Para pelajar perlu cakna berkenaan isu-isu semasa sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan dengan menonton berita atau membaca akhbar. Berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan dan keburukan amalan rumah terbuka di Malaysia.
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan tradisi, budaya dan perayaan. Antaranya adalah sambutan rumah terbuka yang dianjurkan pada musim perayaan. Penganjur seperti kerajaan negeri akan menjemput semua masyarakat setempat untuk datang berkunjung ke rumah terbuka yang menghidangkan pelbagai juadah sempena perayaan yang disambut pada ketika itu.
Contoh Karangan Kepentingan Amalan Rumah Terbuka Buat Rakyat Di Malaysia
Amalan rumah terbuka secara kecil-kecilan tidaklah memberikan kesan buruk yang besar kepada penganjurnya. Sebaliknya penganjuran rumah terbuka secara besar-besaran selalunya mengundang keburukan jika tidak diuruskan dengan baik.
Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan kebaikan dan keburukan amalan rumah terbuka di Malaysia.
Isi-isi penting
- Membuka peluang untuk mengenali budaya kaum lain
- Mengeratkan hubungan antara satu sama lain
- Memberi peluang kepada pengusaha makanan dan minuman untuk mempromosi produk
- Berlaku pembaziran makanan, minuman dan sebagainya
- Masalah sampah dan kebersihan timbul
- Sikap tamak dan kurang etika ditunjukkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab
Pendahuluan
Menjelang musim perayaan, kebanyakan di antara kita tidak sabar untuk menghadiri jemputan rumah-rumah terbuka yang bakal diadakan. Tradisi turun-temurun yang dianjurkan sejak dahulu lagi ini telah menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di Malaysia sebagai tanda menyambut bulan perayaan masing-masing. Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali yang merupakan antara sambutan perayaan utama masyarakat kita menjadi bulan kebanyakan rumah terbuka diadakan.
Penganjuran pula tidak terikat kerana setiap individu, syarikat mahupun kerajaan boleh mengadakan rumah terbuka demi meraikan perayaan penduduk setempat. Bak kata pepatah melayu, yang lama dikelek, yang baharu didukung. Walaubagaimanapun, tradisi ini mempunyai baik dan buruknya. Mari kita bincangkan apakah kebaikan dan keburukan amalan rumah terbuka di Malaysia untuk pengetahuan kita bersama.
Isi 1
Salah satu kebaikan yang diperoleh daripada penganjuran rumah terbuka adalah ia dapat membuka peluang anggota masyarakat untuk mengenali budaya kaum lain. Sebagai contoh, rumah terbuka sempena sambutan hari raya Aidilfitri akan menghidangkan makanan tradisional kaum melayu seperti lemang, ketupat, rendang dan kuih-muih. Apabila pengunjung yang terdiri daripada kaum lain datang dan menikmati juadah tersebut, mereka dapat mengenali jenis makanan dan tradisi masyarakat melayu.
Persis kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Begitulah kita masyarakat majmuk yang hidup di bawah satu payung yang sama perlu saling kenal-mengenali dan meraikan perbezaan. Secara tidak langsung, amalan penganjuran rumah terbuka dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain khususnya bagi masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum. Intihannya, anggota masyarakat dapat menegnali dan menghormati antara satu sama lain dengan melibatkan diri dalam rumah terbuka hari perayaan.
Isi 2
Pada masa yang sama, penganjuran rumah terbuka dapat memberi peluang kepada pengusaha makanan dan minuman untuk mempromosi produk kepada masyarakat setempat. Acapkali, kerajaan negeri atau perdana menteri akan menganjurkan rumah terbuka secara besar-besaran untuk masyarakat setempat. Oleh itu, pengusaha makanan dan minuman yang terlibat dengan penganjuran rumah terbuka mendapat ruang untuk mempromosi produk masing-masing kepada bakal pelanggan mereka.
Peluang ini seharusnya digarap dengan baik oleh mereka yang terlibat kerana kos pemasaran kepada masyarakat awam ini ditanggung oleh penganjur rumah terbuka. Maksudnya, para pengusaha tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk pemasaran dan sasaran pelanggan terbuka kepada semua jenis lapisan masyarakat. Izharnya, penganjuran rumah terbuka mampu memberi keuntungan berlipat ganda kepada pengusaha makanan dan minuman yang terlibat.
Isi 3
Dari segi keburukan pula, penganjuran rumah terbuka pada musim perayaan menyebabkan pembaziran makanan, minuman dan sebagainya berlaku dengan banyak. Hal ini kerana, penganjuran rumah terbuka di peringkat negeri dan kebangsaan, selalunya akan dianjurkan secara besar-besaran. Banyak pengusaha makanan dan minuman akan dipanggil untuk terlibat sama dan menghidangkan juadah kepada pengunjung pada tempoh masa yang ditetapkan.
Tetapi, malangnya terdapat rumah terbuka yang tidak menerima jumlah pengunjung seperti yang disasarkan. Sama ada tindakan promosi kurang dilaksanakan atau berlaku faktor lain yang mengurangkan jumlah pengunjung seperti berlaku hujan lebat dan kawasan rumah terbuka sukar untuk dikunjungi. Maka, berlaku pembaziran makanan dan minuman serta sumber tenaga seperti penggunaan elektrik dan air sepanjang penganjuran rumah terbuka jika jumlah pengunjung tidak mencapai sasaran.
Isi 4
Keburukan lain yang timbul dalam penganjuran rumah terbuka sempena musim perayaan adalah masalah timbunan sampah dan kebersihan. Umum mengetahui apabila kita menganjurkan sebuah acara yang besar-besaran, masalah logistik seperti sampah adalah masalah yang biasa akan timbul. Apa pun cara yang dilakukan oleh pihak penganjur untuk memastikan tiada masalah kebersihan daripada berlaku pasti akan ada sampah yang tidak dibuang secara betul oleh pengunjung.
Situasi ini sebenarnya bergantung kepada pengunjung iaitu kita sebagai ahli masyarakat untuk sama-sama memastikan kebersihan dijaga. Pastikan makanan dan minuman yang diambil boleh dihabiskan dan tidak dibuang kerana mengambil secara berlebihan. Pihak penganjur juga mengingatkan pengunjung untuk menjaga adab dan etika sepanjang berada di kawasan rumah terbuka kerana ia merupakan tempat awam yang dikongsi bersama. Tuntasnya, penganjuran rumah terbuka mempunyai risiko masalah sampah dan kebersihan jika tidak diuruskan dengan baik oleh penganjur dan juga pengunjung.
Penutup
Kesimpulan kepada perbincangan di atas, tradisi rumah terbuka mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kita sebagai ahli masyarakat yang berminda kelas pertama seharusnya bijak untuk meraikan kebaikan dan mengelakkan keburukan dalam segala jenis tindakan dalam kehidupan kita. Begitu juga dengan penganjuran rumah terbuka di mana banyak intisari kebaikan yang bakal diperoleh sekiranya ia dianjurkan dengan baik. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi era modenisasi pada hari ini di mana pergaulan bersemuka antara ahli masyarakat cukup mustahak untuk mengekalkan perpaduan kaum. Diharapkan tradisi ini tidak hilang dek ditelan zaman dan terus diraikan dengan baik supaya segala manfaat yang diperoleh akan memberi keuntungan kepada diri, masyarakat dan juga negara kita yang tercinta.
Related : pelancong asing, mengunjung rumah terbuka, memahami budaya kaum, kebaikan amalan rumah terbuka,