Sebagai murid yang mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu, adakah anda pernah menjawab soalan penulisan karangan berbentuk karangan jenis perihal? Karangan jenis ini tidak mempunyai format yang khusus tetapi disiplin karangan yang lazim iaitu pendahuluan, isi-isi penting dan penutup perlu diikuti. Di bawah dikongsikan contoh karangan Hari Keusahawanan Sekolah (Karangan Keperihalan) sebagai rujukan untuk semua.
Untuk makluman, karangan jenis perihal memerlukan murid untuk memerihalkan seseorang atau sesuatu pengalaman, keadaan, tempat dan peristiwa. Anda perlu menggunakan daya imaginasi dan memuatkan pengalaman sendiri yang membantu untuk menggambarkan sesuatu dengan logik. Pemerihalan apa-apa yang dilihat, didengar dan dirasakan adalah teras kepada jenis karangan ini.
Karangan Keperihalan Hari Keusahawanan Sekolah
Berikut dikongsikan salah satu contoh karangan keperihalan bertajuk seperti di atas untuk panduan semua. Huraian yang diberikan boleh dirujuk sebagai idea kepada penulisan karangan masing-masing.
Gaya penulisan saspens yang dapat menimbulkan rasa ingin tahu pembaca adalah salah satu teknik untuk menjadikan karangan lebih menarik. Teknik penyampaian yang sama dan berulang sebaiknya dielakkan oleh para pelajar.
Contoh Karangan Hari Keusahawanan Sekolah
Pendahuluan
Pada hari sabtu yang lalu, bersamaan 4 April 2022, Sekolah Menengah Kebangsaan Leftenan Adnan telah menganjurkan Hari Keusahawanan. Penganjuran yang dilaksanakan setiap tahun ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada dunia usahawan dan perniagaan. Ia juga dapat memupuk budaya kemahiran inovasi dalam kehidupan mereka untuk menjual produk dan sebagainya. Pihak sekolah dalam masa yang sama dapat mengutip dana untuk membiayai aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah sepanjang tahun ini.
Isi 1
Terdapat lebih 30 buah gerai yang menyertai aktiviti jual beli pada Hari Keusahawanan melibatkan peserta terdiri daripada ahli kelab, persatuan dan unit beruniform. Selain itu terdapat juga peserta yang menyertai aktiviti ini mewakili kelas masing-masing. Pelbagai jenis barang telah dijual seperti makanan, minuman, pakaian terpakai, bahan bacaan, alat tulis serta barangan elektronik. Semangat kerjasama sesama peserta merancakkan lagi suasana persediaan sebelum aktiviti bermula. Pengunjung yang datang pula terdiri daripada murid-murid sekolah, ibu dan bapa tiba di Hari Keusahawanan seawal jam 8.00 pagi.
Isi 2
Antara gerai yang mendapat perhatian pengunjung adalah gerai yang menawarkan makanan dan minuman. Peserta menjual pelbagai jenis makanan seperti nasi ayam, nasi tomato, aneka mee dan air balang. Keadaan menjadi lebih meriah apabila tiba waktu rehat dimana guru dan kakitangan sekolah yang lain turut berkunjung ke tapak Hari Keusahawanan diadakan. Kelihatan peserta yang menjaga gerai makanan dan minuman tidak menang tangan untuk melayan pelanggan mereka.
Isi 3
Pada masa yang sama, pihak sekolah telah menjemput Pejabat Kesihatan Daerah Kajang untuk membuka kaunter pemeriksaan kesihatan. Para pengunjung boleh mendapatkan saringan kesihatan seperti memeriksa tekanan darah dan kandungan gula dalam badan secara percuma. Pegawai kesihatan yang hadir turut mengambil kesempatan untuk menyediakan pameran kesihatan berkaitan kempen gaya hidup sihat.
Isi 4
Selepas waktu Zuhur sekitar jam 2 petang, berlangsung acara cabutan bertuah untuk para pengunjung. Setiap pembelian yang dilakukan di gerai yang terlibat akan menerima nombor cabutan bertuah. Pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan seperti barangan elektrik dan basikal membuatkan pengunjung teruja. Tuan Pengetua sekolah berbesar hati untuk melakukan cabutan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Penutup
Hari Keusahawanan ini telah ditamatkan pada jam 3.30 petang di mana banyak gerai yang menjual barangan mereka pada harga yang murah untuk menghabiskan stok. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada peserta dan pengunjung yang hadir serta mengumumkan anggaran keuntungan yang diperoleh pada hari tersebut sekitar RM10,000. Kejayaan ini disambut oleh semua peserta aktiviti ini dengan gembira dan berharap agar program ini dapat dianjurkan lagi pada tahun-tahun akan datang.
Related : gerai jualan, menjayakan hari keusahawanan,