Bahasa merupakan satu kaedah untuk kita berkomunikasi sesama manusia. Ia juga merupakan kaedah yang digunakan untuk menyebarkan maklumat serta berkongsi ilmu pengetahuan kepada mereka yang memerlukan. Oleh itu, di bawah dikongsikan contoh karangan Kelebihan Menguasai Bahasa Asing (Kepentingan).
Di peringkat sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang wajib dipelajari selepas Bahasa Melayu. Di peringkat sekolah menengah pula, pelajar dibenarkan untuk mengambil bahasa tambahan seperti bahasa tempatan iaitu bahasa Tamil, Cina atau bahasa asing seperti bahasa Arab dan bahasa Perancis.
Contoh Karangan Kebaikan Mempelajari Bahasa Asing (Kepentingan)
Mutakhir ini, menguasai bahasa asing sebagai bahasa ketiga atau keempat semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan ahli masyarakat. Kemahiran ini penting untuk masa hadapan generasi muda dan juga berguna untuk generasi sekarang dalam menambah peluang pekerjaan masing-masing.
Berikut dikongsikan contoh karangan beserta isi-isi penting dan huriain mengikut rangka karangan Bahasa Melayu bertajuk: Kelebihan Menguasai Bahasa Asing (Kepentingan)
Isi-isi penting
- Memudahkan komunikasi antara satu sama lain
- Menambah kenalan
- Memahami budaya asing
- Membuka peluang kerjaya
- Perkongsian ilmu dan maklumat tanpa sempadan
- Mengukuhkan perpaduan bangsa
Pendahuluan
Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi pada hari ini, penguasaan bahasa asing merupakan suatu perkara yang lazim. Hal ini kerana terdapat banyak kelebihan sekiranya kita sebagai individu dan juga masyarakat mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi dalam bahasa asing. Persis kata peribahasa, bahasa menunjukkan bangsa yang bermaksud setiap tingkah laku atau tutur kata yang dilafazkan menunjukkan asal-usul keturunan kita.
Situasi ini tidak boleh dielakkan malah perlu digalakkan kerana mendepani era globalisasi, pemahaman dan penguasaan bahasa negara-negara lain akan memberikan impak yang positif. Justeru, langkah kerajaan memperkenalkan bahasa tambahan di sekolaha adalah signifikan demi masa hadapan generasi akan datang. Bagi menyokong kenyataan di atas, mari kita huraikan kelebihan-kelebihan Menguasai Bahasa Asing (Kepentingan)
Isi 1
Kelebihan yang diperoleh apabila seseorang menguasai bahasa asing ialah ia dapat memudahkan komunikasi antara satu sama lain. Sebagai warganegara Malaysia yang hidup di dalam masyarakat yang majmuk, kita sudah semestinya tahu kepentingan menguasai bahasa asing. Jika kita tidak mempunyai pemahaman dalam bahasa Melayu, Cina atau Tamil, bagaimana masyarakat kita berjaya untuk hidup sehingga kini dalam keadaan yang harmoni dan sejahtera?
Perkara ini jelas menunjukkan jika kita menguasai bahasa asing, ia dapat membantu kita untuk berinteraksi antara satu sama lain. Hubungan diplomatik antara negara akan bertambah progesif dan mampu meningkatkan potensi negara kita di mata dunia. Pelancong asing juga akan mudah untuk mengunjungi dan menikmati pusat pelancongan di negara ini. Tuntasnya, menguasai bahasa aing penting untuk komunikasi antara satu sama lain.
Isi 2
Penguasaan bahasa asing juga dapat membantu kita untuk menambah kenalan. Fitrah manusia untuk mengenali antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi dalam era modenisasi ini yang mana kaedah untuk menguhubungi seseorang tidak mempunyai sempadan. Dengan kemudahan Internet, kita mampu untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja walaupun individu yang dihubungi berada di benua yang berbeza.
Sekiranya kita menguasai bahasa asing, kita mampu untuk berinteraksi dengan masyarakat lain dan mengenali mereka dengan lebih baik. Malah jika seseorang mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran atau bekerja di negara asing, kemahiran ini penting untuk mereka bergaul dengan masyarakat tempatan di sana. Izharnya, kenalan akan bertambah sekiranya kita menguasai bahasa asing dan menggunakannya sebaik mungkin.
Isi 3
Pada masa yang sama, langkah untuk memahami budaya asing akan menjadi lebih mudah apabila kita menguasai bahasa ibunda mereka. Pertuturan yang jelas akan membantu seseorang untuk memahami sejarah atau cerita di sebalik sebuah budaya dan warisan. Hal ini kerana kebanyakan catatan sejarah ditulis dalam bahasa ibunda masing-masing.
Tamsilnya, masyarakat kuno Mesir yang kaya dengan sejarah yang ditinggalkan oleh Firuan. Penganalisis sejarah dunia perlu bekerjasama dengan masyarakat tempatan di Mesir untuk memahami dan mengkaji butiran sejarah yang ditinggalkan oleh para mumia. Intihannya, menguasai bahasa asing dapat membantu kita untuk memahami budaya asing dengan lebih baik dan menghargai sejarah dan warisan yang dimiliki oleh setiap tamadun manusia.
Isi 4
Akhir sekali. kemahiran menguasai bahasa asing membantu kita untuk mempelajari ilmu pengetahuan yang berbeza dan membuka peluang kerjaya. Dunia yang tiada sempadan pada hari ini telah dibangunkan dengan ilmu pengetahuan yang dikongsikan dalam pelbagai bahasa. Maka, kita hendaklah menerima hakikat bahawa menguasai bahasa asing merupakan satu kemahiran yang perlu dalam diri setiap individu pada ketika ini.
Sebagai contoh, penguasaan Bahasa Inggeris sangat penting kerana ia mrupakan bahasa utama yang digunakan oleh segenap pelusuk dunia. Walabagaimanapun, masyarakat hari ini berminat untuk menambah bahasa ketiga dan kempat seperti bahasa mandarin dan bahasa Sepanyol sebagai bahasa tambahan. Kemahiran ini jelas dapat membantu kita untuk mempelajari ilmu dan juga mengembangkan kerjaya di peringkat internasional.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang diperoleh sekiranya kita menguasai bahasa-bahasa asing. Bagi melahirkan masyarakat yang mampu berdaya saing dengan masyarakat asing, kita seharusnya menjadikan kemahiran ini wajib dalam slibus pengajaran di sekolah. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Sekiranya setiap pihak menggembleng tenaga menyokong inisiatif untuk menguasai bahasa asing, nescaya kita mampu menghasilkan modal insan yang berguna bukan sahaja untuk negara tetapi menyumbang kepada masyarakat dunia yang lain.
Related : menguasai pelbagai bahasa, bertutur dalam pelbagai bahasa, sekolah berasrama penuh sbp, untuk menjadi,