Sekolah merupakan tempat untuk melahirkan anggota masyarakat yang berguna untuk keluarga, bangsa dan negara. Pendidikan dari segi akademik penting untuk membentuk tenaga kerja mahir yang menyumbang kepada ekonomi negara. Namun, pendidikan sahsiah murid juga sama penting bagi mewujudkan ahli masyarakat yang berakhlak mulia serta memanfaatkan kehidupan berkomuniti. Di bawah dikongsikan contoh karangan kepentingan adat kepada negara dan masyarakat.
Salah satu tema yang popular digunakan untuk soalan penulisan karangan Bahasa Melayu adalah berkaitan dengan hubungan antara masyarakat. Pelajar perlu memahami kehendak soalan yang diberikan dan menulis jawapan yang tepat serta menarik dengan tajuk yang dipilih. Penulisan karangan yang menarik dan tepat dapat memberikan markah yang cemerlang kepada pelajar di dalam peperiksaan atau ujian.
Contoh Karangan Kepentingan Budaya Dan Adat Resam Kepada Negara Dan Masyarakat
Kepelbagaian kaum yang menetap di Malaysia telah melahirkan pelabagi adat resam dan budaya yang diwarisi secara turun-temurun. Tetapi pengaruh globalisasi dan kemajuan teknologi media sosial telah menyebabkan adat semakin dilupakan oleh masyarakat hari ini.
Di bawah dikongsikan karangan mengikut rangka berkaitan tajuk kepentingan adat kepada negara dan masyarakat untuk rujukan semua.
Isi-isi penting
- Membentuk sahsiah sosial masyarakat di dalam negara
- Mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain
- Melestarikan peninggalan budaya dan adat resam yang unik
- Menjadi lambang identiti negara
- Memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan
- Mengelakkan gejala negatif dan masalah sosial
Pendahuluan
Secara definisi, adat bermaksud peraturan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat sejak turun-temurun. Sebagai contoh, perkahwinan masyarakat Melayu yang mempunyai proses seperti merisik dan bertunang dahulu sebelum bernikah. Begitu juga dengan adat masyarakat lain yang berbeza.
Kepelbagaian kaum di Malaysia telah mewujudkan sesuatu yang unik di mana pelbagai adat resam, dan budaya yang diamalkan sejak turun temurun oleh orang-orang terdahulu. Namun, perkara yang menjadi tunjang masyarakat ini semakin hari semakin hilang dek ditelan zaman. Justeru, mari kita bincangkan kepentingannya kepada negara dan masyarakat untuk pengetahuan umum.
Isi 1
Pertama sekali, adat penting kepada masyarakat dan negara kerana ia membentuk sahsiah setiap individu secara sosial untuk hidup dengan sejahtera bersama-sama penduduk lain. Jika kita melihat sejarah tamadun manusia terdahulu, mereka mewujudkan satu peraturan supaya masyarakat mematuhi dan dapat hidup dengan sejahtera bersama-sama.
Selain panduan yang dikurniakan oleh Tuhan melalui agama, manusia juga memerlukan adat atau peraturan bagi mengelakkan perlakuan jahat seperti jenayah daripada berlaku. Secara langsung mematuhi adat seperti hormat-menghormati antara satu sama lain dapat memastikan kita tidak ditindas dan menjalankan rutin harian secara harmoni. Intihannya, adat penting untuk membentuk sahsiah ahli masyarakat dalam sesebuah negara.
Isi 2
Seterusnya, adat di Malaysia secara khusus adalah penting untuk mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain. Kedatangan penjajah yang membawa masuk masyarakat dari India dan China ke Tanah Melayu serta melaksanakan dasar pecah perintah telah meregangkan hubungan antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, pemimpin dahulu berjaya mendapatkan kemerdekaan dan memastikan masyarakat pelbagai kaum hidup secara aman dan harmoni.
Generasi muda pada hari ini perlu mempelajari adat atau budaya yang diamalkan oleh datuk dan nenek moyang kita. Mereka merupakan contoh terbaik dalam menyatukan hati walaupun berbeza warna kulit, kepercayaan dan adat. Jelas bahawa adat penting untuk mengukuhkan perpaduan antara masyarakat.
Isi 3
Dari satu sudut pandang yang lain, kepentingan adat dikekalkan adalah kerana ia mengandungi peninggalan bangsa yang unik dan tidak didapati di negara lain. Tamsilnya adat yang berkait dengan kesenian seperti seni kraftangan mencanting batik atau menenun songket. Keindahan kraftangan hasil kreativiti anak tempatan ini merupakan salah satu sumber ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.
Oleh yang demikian, kita hendaklah meraikan kraftangan ini dengan memakainya kerana kalau bukan kita yang memakainya, siapa lagi yang akan meraikan keunikan bangsa kita. Adat memakai pakaian tradisional pada hari perayaan sahaja wajar diubah dan dilazimkan pada hari-hari kebiasaan. Izharnya, adat penting dalam melestarikan peninggalan budaya bangsa yang kian lapuk pada era modenisasi pada hari ini.
Isi 4
Akhir sekali, kepentingannya kepada masyarakat adalah sebagai lambang identiti negara. Seperti yang dirangkumkan pada kepentingan lain di atas, adat resam yang diamalkan oleh masyarakat kita telah ditafsirkan sebagai identiti negara kita. Kemajmukan masyarakat yang tinggal di tanah air ini menggabungkan adat resam seperti saling hormat-menghormati dan bertoleransi dalam kehidupan seharian sehingga menjadi lambang kepada bangsa Malaysia.
Ibarat peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang bermaksud permuafakatan antara satu sama lain dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Tuntasnya, adat penting kepada masyarakat sebagai lambang identiti sesebuah negara yang menarik kedatangan pelancong asing.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan adat kepada masyarakat di dalam Malaysia secara khususnya. Adat atau budaya merupakan satu khazanah yang tidak dapat dibeli oleh wang ringgit atau disimpan secara digital di dalam telefon pintar. Ia merupakan satu khazanah yang perlu diwarisi melalui pembelajaran dan pengalaman dalam menghadapi kehidupan seharian bersama adat tersebut. Semoga masyarakat kita terus cakna memelihara adat dan budaya kita walaupun menghadapi pelbagai kekangan dari segi modenisasi dan tradisi budaya hari ini.
Related : mengamalkan budaya kaum, satu cara hidup, perkara perkara, adat istiadat,