Akhlak dan sahsiah para pelajar merupakan satu disiplin yang penting untuk dibentuk di peringkat sekolah. Selain pembelajaran secara bersemuka oleh guru di sekolah dan ibu bapa di rumah, pelajar juga boleh mempelajari membentuk sahsiah diri melalui latihan penulisan karangan Bahasa Melayu. Di bawah dikongsikan contoh karangan peranan remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji untuk rujukan semua.
Dari segi definisi, sahsiah adalah keperibadian seseorang yang dinilai melalui sikap atau tindakan yang dilakukan terhadap sesuatu. Sahsiah yang baik adalah sikap seperti hormat-menghormati, jujur dan berintergriti. Manakala sahsiah yang tidak baik adalah sikap seperti bodoh sombong, tamak dan tidak jujur. Oleh itu, penting untuk remaja mempelajari sahsiah-sahsiah yang baik demi kemaslahatan bersama.
Contoh Karangan Peranan Remaja Dalam Membentuk Sahsiah Diri Yang Terpuji
Pembentukan sahsiah tidak bergantung kepada diri remaja sahaja tetapi orang sekeliling juga sebenarnya memainkan peranan bersama. Ibu dan bapa, guru dah masyarakat sekeliling perlu menjadi contoh teladan kepada remaja untuk membentuk sahsiah yang ulung.
Rujuk contoh karangan bertajuk peranan remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji di bawah. Turut dikongsikan adalah isi-isi penting yang berkaitan untuk digunakan dalam penulisan karangan masing-masing.
Isi-isi penting
- Menghormati keluarga dan orang yang lebih tua
- Memilih rakan sebaya
- Mempelajari ilmu agama
- Berlatih untuk menjadi seorang pemimpin
- Membaca atau menonton kandungan digital yang bermanfaat
- Menyertai aktiviti kebajikan atau sukarelawan
Pendahuluan
Pada era globalisasi ini, setiap anggota masyarakat mendepani pelbagai cabaran kehidupan yang berbeza-beza. Perubahan norma masyarakat yang menggunakan teknologi seperti media sosial dalam kehidupan seharian adalah salah satu contoh perkara yang tidak dilazimi masyarakat terdahulu. Namun, kita tetap perlu mengikuti budaya masyarakat pada hari ini untuk kekal relevan dan tidak bersikap seperti katak di bawah tempurung.
Golongan remaja yang masih mengikuti pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah golongan yang paling berisiko kerana mereka masih mencari tujuan hidup dan pada masa yang sama perlu mengadaptasi kehidupan dengan norma yang baharu ini. Kesannya, ada golongan yang mudah terpengaruh dengan rakan sebaya atau media massa dan terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah. Oleh itu, penting untuk kita ketahui peranan remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar tidak terjerumus ke dalam lembah yang sia-sia.
Isi 1
Peranan utama seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji adalah dengan menghormati keluarga dan orang yang lebih tua. Pepatah Melayu ada berkata orang yang lebih tua makan garam lebih banyak kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dalam hidup berbanding para remaja. Sebagai insan yang muda, remaja seharusnya mendengar nasihat dan teguran yang diberikan oleh ibu, bapa, ahli keluarga, guru atau orang yang lebih berumur.
Sifat merendah diri wajar diamalkan kerana tiada apa yang rugi jika kita mendengar nasihat dan menghormati orang yang lebih tua. Sebaliknya kita akan menjadi rugi jika bersikap bodoh sombong dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini. Tuntasnya, menghormati ibu dan bapa serta mereka yang lebih berumur daripada diri kita merupakan salah satu peranan yang perlu dilaksanakan oleh remaja untuk membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Isi 2
Selain itu, sahsiah yang terpuji boleh dibentuk dalam diri para remaja adalah dengan memilih rakan sebaya. Umumnya golongan remaja akan meluangkan masa bersama rakan-rakan lebih banyak berbanding bersama keluarga yang sibuk bekerja dan sebagainya. Justeru, mustahak untuk setiap individu memilih kumpulan rakan yang mempunyai sahsiah yang baik. Secara langsung dan tidak langsung, rakan yang baik akan mempengaruhi rakan lain untuk membuat baik juga.
Ibarat peribahasa Melayu, kerana nila setitik, rosak sesusu belanga. Jika remaja tersalah pilih rakan dan terpengaruh dengan perkara yang sia-sia, nescaya remaja tersebut mudah untuk terjerumus dalam lembah yang tidak bermanfaat. Rakan yang mempunyai sahsiah yang baik adalah rakan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta sentiasa memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada orang sekelilingnya. Jelaslah bahawa memiih rakan sebaya yang baik mampu menjadikan sahsiah remaja lebih terpuji.
Isi 3
Sahsiah diri yang terpuji juga boleh dibentuk dengan mempelajari, mendalami dan mempraktikkan ilmu agama dalam kehidupan. Secara umumnya, agama merupakan satu kaedah untuk kita sebagai manusia mencari panduan dan tujuan kehidupan di muka bumi ini. Setiap ajaran agama menggalakkan kita untuk menjadi manusia yang berakhlak mulia dan beribadat mengikut ajaran masing-masing. Contohnya, agama Islam mewajibkan umatnya untuk solat lima waktu sehari sebagai ibadat untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.
Ibadat ini akan mengisi keperluan rohani kita dan membantu kita untuk sentiasa bermuhasabah diri. Adakah kita melakukan kebaikan yang akan diberikan ganjaran pahala atau sebaliknya yang dihukum dengan dosa? Nilai-nilai ini secara tidak langsung akan memupuk diri kita untuk mengamalkan sahsiah yang baik dan terpuji. Izharnya, mempelajari dan mempraktikkan ilmu agama dalam kehidupan para remaja adalah salah satu peranan dalam membentuk sahsiah yang terpuji.
Isi 4
Akhir sekali, remaja berperanan untuk membentuk sahsiah diri yang terpuji dengan cara menjadi seorang pemimpin sama ada untuk diri sendiri atau sesebuah organisasi. Pemimpin merupakan satu jawatan di mana anda perlu memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik. Jika tanggungjawab tersebut dilaksanakan dengan baik maka hasil usaha sesebuah organisasi ataupun diri sendiri akan menjadi baik.
Oleh yang demikian, penting untuk remaja mendedahkan diri kepada kepimpinan yang akan membantu membentuk sahsiah diri. Tamsilnya, menjadi seorang ketua kelas memerlukan pelajar untuk berdisiplin, menjadi contoh kepada rakan sekelas yang lain dan mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam ujian atau pentaksiran. Pendedahan atau latihan ini jika diteruskan sehingga peringkat tertinggi di setiap umur para remaja, pasti kelak anda mampu untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya.
Penutup
Sebagai konklusi, terdapat banyak peranan yang boleh dilakukan oleh golongan remaja untuk membentuk sahsiah diri yang terpuji. Mudah untuk dikatakan tetapi sukar untuk dipraktikkan. Itulah kenyataan yang perlu dihadapi oleh para remaja hari ini dalam membentuk sahsiah diri kerana banyak rintangan dan cabaran yang bakal dihadapi. Semoga setiap di antara kita dikelilingi dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat yang bersahsiah tinggi agar nilai-nilai murni dapat disebarkan kepada semua. Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan daging, manusia mati meninggalkan nama. Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa orang yang baik akan meninggalkan nama atau jasa yang baik manakala orang jahat akan meninggalkan nama atau kesan yang jahat.
Related : bak kata pepatah, didikan agama, anak anak, akhlak yang baik, penting kerana, pemuda harapan bangsa pemudi tiang, menjadi insan,