Sejarah merupakan salah satu tema yang mudah untuk menjadi soalan dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu. Hal ini kerana ia merupakan salah satu mata pelajaran yang dipelajari serta mempunyai pelbagai pengajaran yang tersirat dalam sesebuah topik sejarah. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan bertajuk kepentingan memelihara dan memulihara bangunan bersejarah sebagai rujukan untuk semua.
Pelajar memerlukan pengetahuan am yang baik untuk menjawab soalan seperti di bawah kerana fakta dan contoh yang tepat diperlukan untuk memberikan huraian yang menarik. Selain itu, tema ini secara tidak langsung menguji kemampuan dan memberikan pengajaran kepada pelajar tentang kepentingan isu tersebut selepas menulis karangan yang berkaitan.
Contoh Karangan Kepentingan Memelihara Bangunan Bersejarah (Memulihara Dan Mengekalkan)
Isi-isi penting
- Tanda menghargai dan memperingati peristiwa sejarah yang berlaku
- Menjadi nilai kesenian masyarakat
- Menarik minat pelancong asing
- Memanfaatkan ruang atau lokasi
- Sebagai bahan penyelidikan dan pembelajaran
- Memupuk semangat patrotisme
Pendahuluan
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengisytiharkan bahawa terdapat empat tapak di Malaysia yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia. Dua daripada tapak tersebut adalah Bandaraya Melaka dan Georgetown di Pulau Pinang. Dua bandar tersebut mempunyai peninggalan bangunan-bangunan zaman kolonial yang datang untuk menjajah dan menjarah sumber daripada masyarakat Malaysia. Pengiktirafan ini adalah signifikan sebagai salah satu indikasi untuk kita memelihara dan memulihara bangunan-bangunan bersejarah. Walaupun bangunan tersebut tidak mampu berfungsi seperti dahulu namun banyak kepentingannya kepada generasi pada hari ini. Usaha pembangunan baharu seharusnya selaras dengan usaha memulihara dan memelihara bangunan bersejarah persisi peribahasa, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Oleh itu, mari kita bincangkan kepentingan memelihara Ddn memulihara bangunan bersejarah.
Isi 1
Salah satu kepentingan memulihara dan memelihara bangunan bersejarah adalah sebagai tanda menghargai dan memperingati peristiwa sejarah yang berlaku pada bangunan tersebut. Sebagai contoh, kota A’Famosa di Bandaraya Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang dibina oleh penjajah Portugis selepas menawan kota yang suatu ketika dahulu menjadi pusat tumpuan dunia. Penawanan ini berlaku kerana kelemahan pemimpin dan tentera serta masalah perpaduan antara penduduk. Pemuliharaan dan pemeliharaan kubu pertahanan tersebut menjadi simbol kepada perjuangan masyarakat terdahulu yang telah dijajah dan kini kita mengecapi kemerdekaan daripada penjajah. Bukti secara jelas dan sebenar ini akan menambah kepercayaan dan semangat kepada generasi muda untuk menghargai sejarah dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama demi masa depan negara.
Isi 2
Di samping itu, pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah cukup penting kerana ia mempunyai nilai-nilai kesenian masyarakat atau identiti kita. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, sejarah jika tiada bukti? mati begitu sahaja. Justeru mustahak untuk kita pelihara monumen bersejarah sebagai bukti kemahiran masyarakat kita dalam kesenian dan bidang arkitek sejak dahulu sehingga ke hari ini. Tamsilnya, Bangunan Sultan Abdul Samad yang tersergam indah di hadapan Dataran Merdeka yang dibina sebagai pejabat pentadbiran British di Selangor. Monumen ini menggabungkan ciri senibina Islam mempunyai 3 kubah dan satu menara jam yang menjadi simbolik seperti menara Big Ben di Kota London. Keunikan yang hanya kita miliki ini wajar untuk dipelihara sebagai nilai kesenian untuk generasi kini dan juga akan datang.
Isi 3
Kepentingan lain memelihara dan memulihara bangunan bersejarah adalah untuk menarik minat pelancong asing. Industri pelancongan merupakan industri yang besar kepada negara dan antara tarikan utama adalah bangunan-bangunan bersejarah. Misalnya, Bangunan Stadthuys yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka telah dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda. Keunikannya berwarna merah dan mempunyai sebuah menara jam menjadi kawasan pelancong mengambil gambar sebagai tanda mereka tiba di kotaraya Melaka yang dahulu menjadi pusat utama perdagangan dunia. Kesannya, banyak hospitaliti seperti hotel dan restoran serta kedai cenderamata telah dibuka serta menyumbang kepada ekonomi masyarakat dan negara.
Isi 4
Akhir sekali, memulihara dan memelihara bangunan bersejarah penting untuk memanfaatkan ruang atau lokasi bangunan tersebut. Kebanyakan bangunan-bangunan bersejarah terletak di tengah-tengah bandar yang semakin membangun. Kepadatan bangunan baharu dan penduduk di kawasan akan bertambah dari masa ke semasa. Sekiranya bangunan bersejarah tersebut tidak dipelihara, maka ia tidak boleh berfungsi dan menjadi satu pembaziran ruang di kawasan tumpuan penduduk atau pembangunan. Contohnya, pusat jana kuasa Battersea yang terletak di kota London yang telah dibeli oleh firma pembangunan dari Malaysia untuk tujuan pembangunan semula. Stesen jana kuasa yang telah diberhentikan pada tahun 1975 menerima kelahiran semula sebagai pusat komersial dan residensi yang memberi ruang kepada penduduk di kota London yang semakin padat.
Penutup
Kesimpulannya, bangunan bersejarah amat penting untuk dipelihara dan dipulihara oleh pihak berkuasa dan organisasi bukan kerajaan. Hal ini kerana ia merupakan satu khazanah warisan daripada masyarakat terdahulu kepada masyarakat kini dan akan datang. Bangunan atau monumen bersejarah ini merupakan satu simbol kepada kejayaan sesuatu perkara yang pernah dikecapi dan juga kegagalan pada suatu ketika dahulu. Semuanya akan menjadi iktibar kepada generasi akan datang untuk melakukan yang terbaik demi masyarakat dan juga negara. Semoga pihak berkuasa sentiasa berusaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah di seluruh Malaysia.
Related : sejarah negara, seni bina, dipelajari dengan memahami, contoh bangunan, minda generasi muda, dipelihara dan memulihara bangunan bangunan bersejarah,lekang dek panas, kuala lumpur, mahupun pelancong dari luar negara, lapuk dek hujan, bangunan bersejarah di negara, kerana bangunan, dipelihara dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri, dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi, raja laut pada tahun 1897, merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, muzium galeri seni lukis dan pusat pelancongan, porta de santiago gereja christ bangunan stadhuys dan gereja, patriotisme dalam kalangan generasi muda,