Pendidikan sivik adalah salah satu subjek yang perlu dipelajari oleh para pelajar di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia. Asasnya ialah untuk membentuk seorang warganegara yang mengetahui hak, bertanggungjawab dan berakhlak mulia bagi menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan global. Seiring dengan itu, di bawah dikongsikan contoh karangan cara memupuk integriti dalam masyarakat sebagai rujukan untuk semua.
Nilai integriti adalah satu nilai yang lebih besar daripada kejujuran dan hormat. Jika seseorang individu mempunyai budaya integriti yang tinggi, ini bermakna individu tersebut komited dengan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Maka setiap perkara yang dilaksanakan akan dibuat dengan jujur dan ikhlas serta mencapai hasil yang terbaik. Begitu juga jika masyarakat mempunyai nilai integriti yang tinggi nescaya negara akan berkembang maju dengan lebih baik.
Contoh Karangan Kepentingan Mengamalkan Nilai Integriti Dalam Kalangan Masyarakat
Para pelajar didedahkan dengan subjek sivik supaya dapat mengenali nilai-nilai murni dan etika dalam kehidupan. Salah satu nilai murni tersebut adalah integriti yang memainkan peranan apabila kita memikul tanggungjawab atau amanah.
Rujuk contoh karangan bertajuk Cara Memupuk Integriti Dalam Masyarakat di bawah beserta isi-isi penting yang berkaitan dan berpotensi untuk digunakan dalam karangan yang mempunyai tema yang sama.
Isi-isi penting
- Pendidikan etika dan moral di sekolah
- Mengamalkan didikan agama dalam kehidupan
- Menambah pesanan khidmat masyarakat di media massa
- Menunjukkan kesan jika intergriti tidak dipraktikkan
- Belajar mengakui kesilapan dan memberikan tindak balas yang rasional
- Orang tua menjadi contoh teladan terbaik
Pendahuluan
Dasawarasa ini, masyarakat yang terlalu dihidangkan dengan kemajuan dan pencapaian negara telah disedarkan dengan salah laku atau pecah amanah pemimpin-pemimpin negara yang tidak bertanggungjawab. Hari demi hari, berlaku pembongkaran salah guna kuasa golongan pemimpin masyarakat dan negara yang menyebabkan kita sebagai rakyat marhaen menanggung kerugian hasil daripada perbuatan buruk mereka.
Semua perkara ini tidak akan terjadi sekiranya mereka yang memegang jawatan tertinggi di sesebuah organisasi mempunyai intergriti yang jitu. Secara definisi, intergriti bermaksud kejujuran dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah. Oleh yang demikian, penting untuk kita memastikan setiap individu tidak kira umur dan pangkat mempunyai nilai integriti dalam diri masing-masing. Justeru, mari kita lihat, cara-cara memupuk integriti dalam masyarakat demi kemaslahatan bersama.
Isi 1
Kaedah utama dalam memupuk masyarakat sesuatu nilai murni adalah dengan melalui pendidikan etika dan moral di sekolah. Peribahasa Melayu berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka, penting untuk kita mendidik golongan anak muda terlebih dahulu sebelum membentuk masyarakat yang kaya dengan nilai integriti dalam setiap pekerjaan. Pemerkasaan subjek pendidikan sivik dan moral perlu diteliti dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Lebih-lebih lagi dalam era modenisasi ini, etika dan perilaku menjadi satu elemen yang wajib diajar kepada kanak-kanak kerana ia merupakan tanggungjawab kita. Sebagai contoh, pendidikan mengenai keburukan amalan rasuah yang akan merugikan negara secara amnya boleh diajar kepada murid-murid di sekolah. Intihannya, pendidikan etika dan moral di sekolah dapat membantu membentuk masyarakat yang berintergriti tinggi.
Isi 2
Cara lain untuk memupuk nilai integriti dalam diri ahli-hali masyarakat adalah dengan mengamalkan didikan agama masing-masing dalam kehidupan seharian. Setiap agama mendidik kita untuk menjaga perilaku, berbuat baik dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan jujur. Perilaku yang tidak baik seperti mengambil rasuah atau menyalah guna kuasa yang diberikan selalunya dilakukan oleh individu yang hanya memikirkan kepentingan diri dan tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Sekiranya seseorang mempunyai pegangan agama yang kukuh, pastinya dia dapat membezakan antara kaca dan permata atau antara yang haq dan batil. Misalnya apabila disogok dengan rasuah, kita perlu menolaknya kerana menerima rasuah akan menyebabkan ketidak adilan berlaku dalam kerja atau tanggungjawab kita. Izahrnya, didikan agama yang kukuh merupakan perisai untuk menjamin integriti seseorang dalam memikul amanah yang diberikan.
Isi 3
Pada masa yang sama, sebagai seorang manusia kita mudah lupa akan sesuatu. Oleh itu, penting untuk kita sentiasa melakukan pesanan khidmat masyarakat di media massa tentang kepentingan integriti. Pada era media sosial ini, masyarakat kita mudah terpengaruh dengan perkongsian video dan maklumat di media-media sosial kerana itu adalah norma masyarakat pada hari ini.
Selain itu, drama dan filem yang menceritakan tentang individu yang tidak mempunyai integriti juga boleh dipertontonkan kepada khalayak awam. Polemik ini penting untuk dipersembahkan kepada media sosial mahupun arus perdana kerana ia mampu memberi pengajaran kepada semua yang menontonnya. Jelaslah bahawa salah satu cara memupuk masyarakat tentang integriti adalah melalui pesanan khidmat masyarakat oleh media massa.
Isi 4
Akhir sekali, nilai intergriti boleh dipupuk dalam diri setiap anggota masyarakat jika kita berusaha menunjukkan kesan jika intergriti tidak dipraktikkan. Seperti yang telah dihuraikan di atas, jika integriti tidak diamalkan oleh setiap individu di dalam sesebuah organisasi, maka ia akan menuju kejatuhan yang merugikan organisasi tersebut dan pelanggan atau mereka yang berkaitan. Tamsilnya, apabila pemimpin negara mengambil rasuah, mereka akan menjadi kaya-raya tetapi rakyat di bawah hanya akan mendapat hasil infrastruktur yang tidak bermutu tinggi.
Contohnya, sebuah projek sekolah yang menerima peruntukan sebanyak satu juta Ringgit Malaysia tetapi disebabkan tiada integriti yang tinggi dalam kalangan mereka yang mendapat projek tersebut, sekolah dibina dengan nilai yang lebih rendah kerana ingin mengambil untung atas angin. Kesannya, anak-anak kita terpaksa belajar dalam infrastruktur yang tidak kondusif. Tegasnya, menunjukkan akibat tiada integriti mampu memupuk masyarakat terhadap kepentingannya.
Penutup
Natijah daripada perbincangan di atas adalah integriti merupakan satu nilai yang perlu disemat dalam diri setiap individu. Nilai yang semakin berkubur dalam kalangan ahli masyarakat kita ini serta penangan kenaikan kos sara hidup menyebabkan ia sukar untuk diamalkan. Pemimpin negara dan pihak berkuasa perlu menjadi contoh terbaik sebagai seorang yang berintegriti agar dipandang tinggi oleh ahli masyarakat yang lain. Semoga masyarakat kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap golongan pemimpin yang mengendahkan nilai integriti sehingga dipenjarakan kerana kita sebagai rakyat yang menanggung kerugian hasil ketamakan dan kecuaian mereka.
Related : tingkah laku, perlu mempunyai,