Untuk memperbaiki penulisan karangan Bahasa Melayu, pelajar perlu melakukan latihan tambahan dengan menulis esei yang terdiri daripada pelbagai tema, tajuk dan juga format. Dengan pendedahan tersebut, pelajar pasti dapat bersedia untuk menjawab apa sahaja soalan dan menulis karangan dengan baik. Di bawah dikongsikan contoh karangan Langkah Untuk Menjaga Alam Sekitar (Cara) untuk rujukan semua.
Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber alam seperti sumber air, gas asli, tumbuh-tumbuhan dan tenaga solar yang banyak. Maka, penulisan karangan yang menyentuh isu berkaitan dengan sumber alam atau alam sekitar ini menjadi salah satu tema yang lazim dikeluarkan. Dengan pembacaan dan latihan tambahan, anda pasti dapat memberikan isi dan fakta yang terbaik untuk dihuraikan dalam penulisan karangan masing-masing.
Langkah Untuk Menjaga Alam Sekitar (Cara)
Berikut dikongsikan contoh karangan Cara Menjaga Alam Sekitar sebagai rujukan. Turut disertakan adalah isi-isi penting yang sesuai dan huraian mengikut rangka penulisan karangan Bahasa Melayu.
Isi-isi penting
- Mengamalkan amalan kitar semula
- Mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam kehidupan
- Menggunakan teknologi mesra alam di setiap industri
- Memperkenalkan dasar dan polisi menjaga alam sekitar serta penguatkuasaan undang-undang yang ketat
- Kempen yang efektif melalui media massa
- Pendidikan yang lebih mendalam dan berkesan di sekolah
Contoh Karangan Langkah Untuk Menjaga Alam Sekitar (Cara)
Pendahuluan
Tanah air kita yang dikelilingi persisiran pantai dan mempunyai taburan kawasan hijau yang merupakan satu aset yang wajar dipelihara. Dasar perindustrian yang diperkenalkan oleh kerajaan dahulu, kini telah memakan diri apabila pembangunan berlaku secara pesat tetapi merakus alam sekitar sehingga menyebabkan bencana alam dan pencemaran berlaku. Kejadian banjir yang kerap berlaku sehingga memusnahkan rumah-rumah mangsa dan mengakibatkan jumlah kerugian yang tinggi. Pencemaran udara juga telah mengakibatkan kes berkaitan masalah pernafasan dalam kanak-kanak semakin berleluasa.
Peristiwa ini sebenarnya berkait rapat dengan penjagaan alam sekitar yang terabai dek kerana mengejar pembangunan tanpa mengambil kira kesannya pada kawasan sekeliling. Pepatah Melayu ada berkata, ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Oleh yang demikian, penting untuk kita memberi kesedaran kepada orang awam tentang langkah-langkah untuk menjaga alam sekitar supaya kejadian seperti bencana alam tidak berulang.
Isi 1
Setiap obligasi haruslah bermula dengan diri kita sendiri. Begitu juga dengan cara untuk menjaga alam sekitar adalah dengan mengamalkan kitar semula. Pihak berkuasa sebelum ini pernah memperkenalkan tong-tong kitar semula yang mempunyai tiga warna berbeza. Iaitu warna biru untuk kitar semula kertas, warna coklat untuk barangan kaca dan jingga untuk tin aluminium. Namun, kempen kitar semula yang bernas ini dilaksanakan seperti hangat-hangat tahi ayam. Untuk menjadi seorang individu yang berminda kelas pertama, kita perlu sentiasa memulakan sebuah perubahan dengan diri sendiri.
Apabila kita berjaya mengamalkan kitar semula seperti mengasingkan sisa sampah mengikut kategori mereka dan membuangnya dengan hemah di pusat kitar semula, orang sekeliling kita mampu untuk melakukan perkara yang sama. Amalan seperti tidak menggunakan plastik dan membungkus makanan daripada premis makanan menggunakan bekas yang dibawa daripada rumah juga membantu menjaga alam sekitar. Tegasnya, penjagaan alam sekitar bermula dengan amalan kitar semula di rumah.
Isi 2
Kaedah seterusnya untuk menjaga alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam setiap aspek kehidupan kita. Sebagai contoh, pertanian organik merupakan salah satu kaedah yang wajar digalakkan kerana tiada bahan kimia terlibat dalam penghasilan hasil tani tersebut. Bukan kita sahaja sebagai pengguna mendapat faedah secara kesihatan tetapi tanah yang digunakan untuk pertanian juga bebas daripada bahan kimia. Ia juga mengelakkan racun perosak atau serangga yang digunakan daripada mengalir masuk ke sungai berdekatan dan mencemari sumber air tersebut serta membunuh hidupan akuatik.
Kejadian pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku di Pasir Gudang, Johor merupakan salah satu contoh dimana anak-anak di jatuh sakit dan sekolah terpaksa ditutup. Perkara ini berlaku hanya kerana individu yang tidak bertanggungjawab telah membuang bahan kimia yang digunakan dalam industri terus ke dalam sungai tersebut tanpa sebarang proses pembersihan atau naturalisasi. Secara tuntas, sekiranya bahan kimia dapat dikurangkan dalam penggunaan seharian kita, secara langsung alam sekitar kita menjadi lebih selamat dan terjamin.
Isi 3
Dari sudut pandang yang lain pula, langkah untuk menjaga alam sekitar yang wajar dilaksanakan di peringkat industri adalah dengan menggunakan teknologi mesra alam. Kita tidak boleh nafikan bahawa ekonomi negara juga disumbangkan daripada sektor perindustrian. Sekiranya negara kita bertekad untuk menjaga alam sekitar, sektr perindustrian juga perlu melakukan perkara yang sama dengan menggunakan teknologi mesra alam. Tamsilnya, penggunaan penapisan udara yang dipasang di cerobong asap kilang dan juga ekzos kenderaan perlu diwajibkan.
Pihak kerajaan boleh menggalakkan inisiatif ini dengan mengurangkan kos untuk menghasilkan penapisan udara tersebut dengan bantuan subsidi. Persis kata peribahasa, tidak ada gunung yang tak dapat didaki, tiada lurah yang tidak boleh dituruni. Begitu juga dengan langkah drastik ini di mana perubahan seperti menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui di peringkat industri hendaklah dimulakan pada hari ini. Intihannya, penjagaan alam sekitar lebih efektif dengan menggunakan teknologi mesra alam secara komersial dan juga di peringkat perindustrian.
Isi 4
Langkah-langkah yang telah dibincangkan di atas akan menjadi sia-sia jika langkah terakhir ini tidak dilaksanakan dengan baik. Pengenalan dasar dan polisi serta penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa adalah mustahak dalam menjaga alam sekitar di negara ini. Sebagai masyrakat umum, kita dalah melihat apabila pencemaran berlaku sama ada pencemaran air atau udara, ia pastinya berlaku kerana terdapat individu yang tidak bertanggungjawab melakukan kesalahan tanpa berasa takut atau serba salah.
Situasi ini dapat dielakkan jika pihak berkuasa bersikap tegas dan menghukum pesalah laku terhadap alam sekitar dengan tahap hukuman yang adil dan mampu meninggalkan kesan pada orang awam. Misalnya, sehingga kini, pembalakan haram di seluruh negara kita masih berleluasa kerana tiada penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang yang cekap. Peribahsa Melayu berkata, menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Setiap pesalah laku tersebut harus ditangkap dan dihukum sehingga segala salah laku terhadap alam sekitar tidak berulang. Justeru, penjawat awam khususnya wakil rakyat dan anggota penguatkuasa perlu menjalankan amanah dengan jujur dan berintegriti.
Penutup
Sebagai kesimpulan daripada perbincangan di atas, pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk menjaga alam sekitar. Setiap pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan usaha di atas dapat dipraktikkan dan kesedaran disebarkan tanpa sebarang pengecualian. Golongan yang mengaut keuntungan daripada merosakkan alam sekitar di negara ini perlu dibawa kemuka pengadilan supaya memberi pengajran kepada masyarakat umum. Dengan kesedaran sivik dan pendidikan yang dilaksanakn di peringkat sekolah. Kita mampu melahirkan anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan menyemai semangat cinta akan alam sekitar yang kita miliki daripada musnah. Persis kata mutiara, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Sedikit demi sedikit langkah yang kita lakukan pada setiap hari untuk menjaga alam sekitar. Akan membuahkan hasil yang menguntungkan pada kita dan juga generasi masa hadapan atas nikmat kekayaan alam sekitar di negara ini.
Related : perlu diambil, kempen kesedaran, untuk menggunakan, kawasan kawasan,