Cara Mengundi Di Pilihanraya Umum PRU 15. Umum sedia maklum yang tarikh pengundian (mengundi) bagi Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15) tahun 2022 telah ditetapkan pada hari Sabtu, 19 November 2022. Berikut dikongsikan panduan cara mengundi pada PRU yang berguna buat pengundi yang pertama kali mengundi pada pilihanraya kali ini.
Untuk makluman, sila pastikan anda layak untuk mengundi dengan membuat semakan daftar Pemilih SPR di aplikasi semakan SPR di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my/. Masukkan nombor kad pengenalan dan Aksara Captcha yang disediakan. Maklumat berkaitan seperti nama, KP, DUN dan Parlimen, jantina. lokaliti akan dipaparkan.
Cara Mengundi Di Pilihanraya Umum (PRU)
Umum sedia maklum yang undi anda adalah rahsia. Seseorang pemilih hanya boleh memangkah seorang calon sahaja, iaitu dengan menandakan ‘X’ bersebelahan nama calon yang dipilih. Selepas menandakan kertas undi, pengundi perlu melipatnya mengikut garisan di kertas undi, dan seterusnya memasukkannya ke dalam peti undi yang disediakan.
Jika diadakan pilihan raya serentak (Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri) kertas-kertas undi mestilah ditanda, dilipat dan dimasukkan ke kotak peti undi yang berasingan yang ditanda “PARLIMEN” dan “NEGERI”
Elakkan daripada melakukan undi rosak seperti maklumat berikut :-
UNDI ROSAK
i) Undi lebih daripada satu calon
ii) Tak dicop atau ditanda dengan tanda rasmi ataupun tidak ditandatangani oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM)
iii) Ada tulisan atau sesuatu tanda yang membolehkan pengundi tersebut dikenalpasti
iv) Tidak bertanda atau tanda yang selain dari tempat dan cara yang sebenar
Berikut dikongsikan langkah dan panduan cara mengundi buat rujukan pengundi. Sila pastikan anda pergi awal dan bawa kad pengenalan. Dan pastikan yang anda LAYAK untuk mengundi
PANDUAN CARA MENGUNDI
1) Sila masuk apabila dibenarkan oleh polis yang mengawal di pintu masuk
2) Serahkan MyKad atau Dokumen pengenalan dan slip semakan kepada kerani Pengundian Pertama. Tunjukkan tangan untuk diperiksa dan dipastikan tiada calitan dakwat kekal pada jari
3) Bergerak ke hadapan kerani Pengundian kedua. Letakkan tangan di atas pad dakwat kekal untuk calitan jari dan tunggu nama anda dipanggil
4) Selepas jari ditandakan dengan dakwat kekal dan sebelum kertas undi dikeluarkan, kerani pengundian pertama akan membuat tanda pada nombor dan nama anda dalam buku daftar pemilih. Dapatkan kertas undi daripada Kerani Pengundian Ketiga
5) Maju ke petak undi dan tandakan X pada ruang calon dalam kertas undi anda. Pilih satu calon sahaja
6) Masukkan kertas undi dalam peti undi masing-masing untuk Dewan Undangan Negeri dan Parlimen
7) Keluar segera dari tempat Mengundi
Untuk paparan yang jelas panduan cara mengundi, sila rujuk kepada imej grafik yang disertakan di bawah ini
GRAFIK PERINGATAN KEPADA PENGUNDI
Maklumat Lanjut Hari Mengundi
Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi.
Secara rasmi hari mengundi bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya.
Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia. Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran membuang undi
HARI MENGUNDI
1) Pengundian dilakukan di tempat-tempat mengundi yang telah diwartakan
2) Setiap tempat mengundi mempunyai seorang Ketua Tempat Mengundi yang mengawal selia proses pengundian. Beliau akan dibantu oleh kerani mengundi dan kerani mengira undi
Semoga perkongsian panduan cara mengundi bermanfaat buat semua