Tajuk soalan karangan Bahasa Melayu selalunya menjadi persoalan dalam kalangan pelajar dan guru-guru. Namun begitu, pilihan soalan yang diberikan pasti menyenaraikan pilihan mengikut tahap samada mudah atau sukar. Pilihan tajuk soalan yang sukar akan memerlukan pemikiran yang kreatif dan kritis pelajar untuk menjawab. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan peranan masyarakat menjaga nama baik negara untuk panduan semua.
Topik yang berat untuk dibincangkan oleh pelajar seperti di bawah memerlukan bimbingan daripada guru-guru. Pelajar perlu memastikan isi-isi penting yang ingin digunakan diolah dengan betul dan tepat kerana jika terdapat kesalahan, penulisan karangan pelajar akan terjejas. Selain itu, penggunaan peribahasa dan frasa menarik yang boleh dikaitkan dengan tajuk karangan pelajar adalah digalakkan serta akan menambah daya penarik pembaca.
Peranan Masyarakat Dalam Menjaga Nama Baik Negara
Isi-isi penting
- Mematuhi undang-undang
- Mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara
- Menjaga keharmonian
- Menghargai dan melindungi alam sekitar
- Menghantar bantuan sukarelawan kepada yang memerlukan
- Bersaing dari segi kemajuan sains dan teknologi secara global
Contoh Karangan Peranan Masyarakat Menjaga Nama Baik Negara
Pendahuluan
Sejak negara menikmati arus kemerdekaan. Rakyat Malaysia telah hidup dengan aman dan harmoni bersama-sama menempuh era globalisasi yang serba mencabar hari ini. Dari hari ke hari, nama negara kita acapkali menjadi tumpuan dunia samada dari segi pencapaian yang baik dan juga berita yang kurang baik sehingga menjatuhkan imej negara. Pada zaman teknologi di hujung jari, segala perkara mudah dan pantas tersebar secara maya di atas talian di mana ia boleh diakses oleh seluruh masyarakat di seluruh dunia. Oleh itu, setiap penduduk yang menikmati kemudahan hidup di dalam negara ini bertanggungjawab untuk menjaga nama baik negara. Kesan globalisasi yang semakin luas dan pantas, penularan sesuatu perkara seperti persepsi, berita malahan penyakit akan menjadi sukar untuk dibendung. Maka, wajar untuk kita mengetahui apakah cara untuk anggota masyarakat memastikan nama baik negara dijaga dan dipelihara.
Isi 1
Prakarsa utama dalam memelihara nama baik tanah air kita adalah dengan mematuhi undang-undang. Peraturan dan undang-undang telah dicipta bagi mengawal kekalutan dan menjadi garis panduan dalam hidup bermasyarakat pada hari ini. Sekiranya setiap ahli masyarakat menghormati dan mematuhi undang-undang yang sentiasa digubal bagi menyesuaikan keadaan dari semasa ke semasa, pasti masyarakat tersebut berjaya mewujudkan generasi yang inteligensia dan berperikemanusiaan. Tetapi, keadilan di dunia realiti hari ini adalah sesuatu yang mustahil. Terdapat golongan yang enggan untuk mematuhi undang-undang demi mendapatkan kepentingan diri atau dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran negatif yang perlu dikekang. Sebagai contoh, negara kita telah dikenali dengan ahli politik yang sinonim dengan amalan rasuah dan menjadi berita di segenap penjuru dunia. Perkara ini telah memberikan tamparan hebat kepada negara khususnya dari segi ekonomi dan hubungan dengan negara luar. Pengajarannya, jika setiap di antara kita mematuhi undang-undang, sudah pasti setiap perkara akan mendatangkan hasil yang baik walaupun ia memakan masa yang lama untuk kita berjaya.
Isi 2
Di samping itu, nama negara boleh dijaga dengan memastikan kedaulatan dan keselamatan negara menjadi keutamaan setiap ahli masyarakat. Pada 31 Ogos 1970, Majlis Gerakan Negara telah menggariskan lima prinsip yang dikenali sebagai Rukun Negara sebagai pegangan seluruh masyarakat Malaysia. Lima prinsip tersebut adalah kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuraan perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan. Sekiranya masyarakat sedar, prinsip di atas adalah jelas dan mudah untuk kita amalkan dalam kehidupan harian masing-masing. Di samping itu, penglibatan negara dalam organisasi antarabangsa seperti Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN dapat membantu menjamin keselamatan negara daripada ancaman bencana alam dan lain-lain. Tambahan pula, komitmen ahli keselamatan negara yang terdiri daripada anggota tentera dan polis di persempadanan wajar menerima penghargaan daripada setiap ahli masyarakat. Sekiranya keselamatan dan kedaulatan negara terjamin, pasti nama negara kita dipelihara daripada ancaman yang boleh memudaratkan.
Isi 3
Malaysia adalah negara yang amat unik di mana hidupnya komuniti daripda pelbagai kaum, bangsa dan agama. Kemerdekaan negara yang mencapai lebih daripada 60 tahun membuktikan kemampuan setiap ahli masyarakat untuk bertoleransi dan hidup secara harmoni dalam satu komuniti. Bak kata peribahasa Melayu, ikan di laut asam di darat, dalam periuk, bikin muafakat. Pepatah ini membawa maksud bahawa manusia ini terdiri daripda pelbagai ragam tetapi apabila duduk bersama, setiap di antara kita mempunyai fungsi dan saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, keharmonian hidup bermasyarakat dalam negara kita perlu dipelihara dengan baik dan diraikan bersama-sama. Masyarakat perlu elakkan daripada anasir-anasir yang berbaur perkauman dan agama pada masa ini. Sebaliknya kita mampu menjadi model keamanan global dimana polemik dunia hari ini tidak lari daripada isu perkauman bangsa dan agama. Kita sebagai rakyat Malaysia mampu menunjukkan kepada dunia bahawasanya, setiap manusia boleh duduk bersama tanpa mengira kaum bangsa dan agama berbekalkan semangat kekitaan, toleransi dan berfikiran terbuka. Diharapkan agar semua di antara kita berasa bangga dan bersungguh-sungguh dalam mengekalkan keharmonian negara yang menjadi tauladan kepada setiap masyarakat di segenap penjuru dunia.
Isi 4
Pada waktu yang sama, Malaysia juga dikenali dengan kekayaan khazanah alam sekitar yang mengelilingi tanah air yang tercinta ini. Daripada kepulauan yang dikelilingi pantai dan terumbu karang yang cantik sehingga hutan-hutan yang telah berumur lebih daripada ratusan tahun, kekayaan ini perlu dipelihara dan membawa nama negara Malaysia itu dikenali seantero dunia. Kedudukan geografi negara yang menarik dan unik telah menghasilkan pelbagai penemuan bersejarah seperti pokok rafflesia dan pelbagai lagi flora dan fauna yang jarang dijumpai di tempat lain. Oleh itu, setiap pihak daripada anggota masyarakat sehinggalah pihak berkuasa bertanggungjawab memelihara kurniaan tuhan kepada tanah air yang kita diami ini dan memanfaatkannya dengan hemah serta memastikan kelansungannya kepada generasi akan datang. Aktiviti pembangunan dan pelancongan di setiap kawasan perlu sentiasa dipantau dan dikawal supaya ia tidak menjejaskan alam sekitar. Pencemaran-pencemaran yang berlaku adalah hasil daripada kelakuan orang yang tidak bertanggungjawab seperti yang berlaku di Pasir Gudang sehingga melibatkan nyawa yang tidak bersalah. Natijahnya, jika masyarakat menunjukkan penghargaan yang baik terhadap alam sekitar, habitat kehidupan sekelilling akan terjamin sekaligus mengelakkan pencemaran daripada mengancam kehidupan manusia.
Penutup
Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sudah pasti nama negara dapat dipelihara dan menjadi sebutan masyarakat global atas kejayaan yang kita kecapi. Kita perlu sedar bahawa kita tidak akan hidup lama di muka bumi ini dan kita berkongsi sumber yang sama dalam menjalani kehidupan seharian dengan orang sekeliling kita. Diharapkan setiap di antara kita sedar akan tanggungjawab diri terhadap keluarga, masyarakat dan seterusnya negara di mana setiap perilaku kita akan memberikan impak samada positif atau negatif. Amalan bermuhasabah diri dan berfikiran terbuka serta menerima pandangan orang lain seterusnya memikirkan solusi yang terbaik bagi semua pihak adalah tabiat yang wajar dan amat murni untuk dilaksanakan oleh semua pihak. Peribahasa Melayu berkata, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Marilah kita berganding bahu bersama-sama menghadapi cabaran masa kini dan bersedia untuk cabaran yang lebih sukar di masa akan datang.