Syair merupakan satu puisi berlagu dan berasal dari Parsi yang dibawa masuk ke Nusantara bersama Agama Islam. Karya sastera yang menjadi kegemaran masyarakat melayu lama ini menjadi salah satu komponen sastera (KOMSAS) yang perlu dikaji oleh pelajar Tingkatan 4. Berikut dikongsikan nota-nota berkaitan Syair Bidasari : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran untuk rujukan semua.
Syair ini yang terdapat dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul merupakan karya Jamilah Haji Ahmad. Puisi tradisional atau syair ini mempunyai genre romantik dan kaya dengan bahasa kesusateraan melayu klasik. Ciri-ciri dan bentuk ini mendedahkan pelajar masa kini terhadap keindahan dan keunikan Bahasa Melayu zaman terdahulu.
Nota Syair Bidasari : Maksud, Tema, Persoalan, Bentuk, Nilai & Pengajaran
Di bawah dikongsikan nota berkaitan Syair ini meliputi Maksud, Tema, Persoalan, Bentuk, Nilai & Pengajaran sebagai panduan untuk semua.
Turut disetakan adalah bentuk syair, gaya bahasa dan soalan-soalan latihan yang berkenaan dengan KOMSAS yang dikaji.
Maksud Syair
Rangkap 1
Dengarkan tuan suatu riwayat
Raja di desa Negeri Kembayat
Dikarang fakir dijadikan hikayat
Supaya menjadi tamsil ibarat
Penyair mengenalkan kisah seorang raja yang memerintah Negeri Kembayat. Kisah yang ditulis oleh seseorang yang hanya mahu dikenali sebagai fakir sebagai tanda merendah diri. Tujuan hikayat supaya menjadi contoh dan perbandingan kepada pembaca
Rangkap 2
Ada raja suatu negeri,
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,
Melimpah ngadil dagang senteri.
Di negeri tersebut terdapat seorang raja yang masyhur dan bijaksana. Baginda juga merupakan seorang yang mampunyai budi pekerti yang baik dan melayani para pedagang yang datang mendalami pengajian dalam bidang agama Islam di negerinya itu dengan adil
Rangkap 3
Hairan orang empunya temasya,
Baginda itulah raja perkasa,
Sangat tiada merasai susah,
Entah pada esok dan lusa.
Raja tersebut juga sangat berkuasa pada masa tersebut kerana memerintah negara dalam suasana yang aman tanpa sedikit pun menghadapi kesukaran. Namun begitu, mereka tidak dapat menjangkakan ketentuan yang akan berlaku pada masa yang mendatang
Rangkap 4
Seri sultan raja bestari,
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,
Hamillah puteri permaisuri.
Pemerintah tersebut telah berkahwin dan beberapa bulan selepas itu, permaisuri baginda telah hamil
Rangkap 5
Beberapa lamanya dalam kerajaan,
Baginda duduk bersuka-sukaan,
Datanglah beroleh kedukaan,
Baginda meninggalkan takhta kerajaan.
Sepanjang raja memerintah Negeri Kembayat dengan suasana yang aman damai dan gembira, tetapi suatu hari Negeri Kembayat dikejutkan dengan berita sedih apabila baginda terpaksa meninggalkan kerajaannya
Rangkap 6
Datanglah kepada suatu masa,
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas gurda sangat perkasa,
Menjadi negeri rosak binasa.
Diberitakan pada satu hari yang lain, Negeri Kembayat telah diserang oleh burung garuda yang ganas dan kuat terbang daripada angkasa. Serangan ini mendatangkan kemusnahan yang teruk kepada negeri tersebut
Rangkap 7
Datanglah menyambar suaranya bahana,
Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Seisi negeri gundah-gelana,
Membawa diri ke mana-mana
Penyair menggambarkan kisah burung garuda menyerang Negeri Kembayat yang mempunyai suara yang kuat bergema hingga menggemparkan rakyat dan menyebabkan negeri menjadi huru-hara- rakyat lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri
Rangkap 8
Baginda pun sedang dihadap orang,
Mendengar gempar seperti perang,
Bertitah baginda raja yang garang,
“Gempar ini apakah kurang.”
Di istana, rakyat datang untuk menghadap raja yang sedang bermesyuarat. Apabila mendengar keadaan di luar istana yang sangat bising, raja yang cemas dan prihatin itu berasa hairan apabila melihat situasi tersebut dan menanyakan rakyatnya sebab keadaan itu berlaku.
Tema
Syair Bidasari ini bertemakan cabaran yang dihadapi oleh seorang pemerintah dalam mentadbir negara.
Persoalan
- Kebijaksanaan memimpin sebuah kerajaan – Sultan halifah akas bestari
- Tenggungjawab seorang pemimpin – Raja Negeri Kembayat mempedulikan masalah yang menimpa rakyat dan negeri baginda sebagia tanggungjawabnya
- Kasih sayang terhadap anggota keluarga – Raja Negeri Kembayat menyayangi isterinya lebih-lebih lagi apabila permaisuri baginda hamil
- Keadilan dan kesaksamaan – melimpah ngadil dagang senteri
- Musibah yang tidak boleh diramal – Serangan Garuda yang menimpa Negeri Kembayat berlaku secara tiba-tiba
- Masa depan seseorang ditentukan oleh Tuhan – Entah pada esok dan lusa
Bentuk
- Syair ini berbentuk terikat/ tidak bebas
- Ia terdiri daripada lapan rangkap
- Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, empat baris serangkap
- Semua baris dalam setiap rangkap adalah maksud
- Bilangan kata antara tida hingga lima patah perkataan
- Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris
- Rima akhir syair ini ialah aaaa kecuali rima akhir rangkap ketiga syair ialah aaba
Gaya Bahasa
- Aliterasi : beberapa bulan beberapa hari
- Asonansi : baginda duduk bersuka-sukaan
- Bahasa istana : baginda, permaisuri, takhta
- Hiperbola : datanglah menyambar suaranya bahana
- Metafora : takhta kerajaan
- Inversi : tuan dengarkan suatu riwayat
- Simile : mendengar gempar seperti
- Repitisi : beberapa bulan beberapa hari
- Kata arkaik : akas, ngadil, halifah, gurda
Nilai
- Nilai Keadilan – Raja Negeri Kembayat yang pertama bijak dan cekap memimpin rakyat
- Nilai Kasih sayang – Raja Negeri Kembayat amat menyayangi isterinya lebih-lebih lagi selepas isterinya mengandung
- Nilai Kebijaksanaan – Raja Negeri Kembayat bijak dan cekap mentadbir kerajaannya
- Nilai Tanggungjawab – Raja Negeri Kembayat mentadbir negerinya dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi
Pengajaran
- Kita hendaklah memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita dengan baik
- Kita perlu bijak dalam menyusun rancangan tugasan yang perlu kita lakukan agar segalanya berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang baik
- Kita seharusnya memupuk sifat kasih sayang terhadap ahli keluarga bagi mewujudkan hubungan keluarga yang bahagia dan harmoni
- Kita mesti bersedia menghadapi sebarang musibah atau ancaman musuh dalam menghadapi kehidupan seharian
Koleksi Soalan Latihan Syair Bidasari
Berikut adalah contoh-contoh soalan yang berkaitan dengan syair tersebut:
1. Berikan maksud “unggas gurda sangat perkasa” dalam rangkap ke-6 syair di atas
- Burung raksasa terlalu berkuasa atau kuat
2. Berikan maksud “melimpah ngadil dagang senteri” dalam syair di atas
- Bersikap terlalu adil kepada pengembara/ perantau/ orang asing atau orang yang datang untuk mendalami ilmu agama Islam
3. Apakah maksud rangkai kata “supaya menjadi tamsil ibarat” dalam rangkap pertama syair di atas
- agar menjadi contoh teladan
4. Jelaskan kaedah yang boleh anda ambil untuk menggambarkan ketaatan anda kepada pemerintah
- Langkah untuk mentaati pemerintah negara adalah dengan mengekalkan kedaulatan negara, menyanjung warisan bangsa dan menjaga nama baik negara
5. Nyatakan sifat-sifat raja Negeri Kembayat berdasarkan rangkap kedua
- Antara sifat yang digambarkan oleh penyair adalah raja tersebut merupakan seorang yang bijaksana, adil dan berpengaruh kuat dalam kalangan rakyatnya
6. Jelaskan dua latar masyarakat yang terdapat dalam syair yang anda kaji
- Syair ini merupakan syair yang telah saya kaji dan antara latar masyarakatnya adalah masyarakat pemerintah yang adil seperti yang ditunjukkan oleh Raja Negeri Kembayat dan masyarakat yang taat kepada pemerintah apabila rakyat Negeri Kembayat taat kepada perintah raja mereka setiap masa
Semoga perkongsian perkaitan Syair Bidasari : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran membantu semua yang memerlukan.
Related : musibah yang dihadapi oleh seorang raja, bertitah baginda pun sedang dihadap orang, hari yang dihadapi oleh seorang raja, asalnya baginda pun sedang dihadap orang, suaranya yang dihadapi oleh seorang raja,