Tanpa ibu dan bapa, kita tidak akan dilahirkan di dunia ini. Maka jasa dan pengorbanan orang tua kita wajar untuk dibalas dan dihargai. Tidak kira sama ada kita masih remaja, kanak-kanak ataupun telah menjelang dewasa, tanggungjawab kepada ibu dan bapa perlu ditunaikan. Oleh itu, di bawah dikongsikan contoh karangan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa (Karangan) untuk panduan semua.
Sebagai pelajar, anda bertanggungjawab untuk mempelajari setiap mata pelajaran yang diajari dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pentaksiran yang diadakan. Sebagai anak-anak pula, apakah tanggungjawab anda kepada ibu dan bapa? Persoalan ini penting supaya para pelajar sedar dan mula untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada ibu dan bapa masing-masing.
Contoh Karangan Tanggungjawab Seorang Anak Terhadap Ibu Bapa
Tema penulisan karangan ini mudah untuk pelajar menjawab kerana ia merupakan tema yang dekat pada hati dan perasaan pelajar. Oleh yang demikian, anda seharusnya mampu mengeluarkan idea dan huraian yang menarik serta tepat dengan kehendak soalan.
Berikut dikongsikan contoh karangan tanggung jawab anak terhadap ibu bapa sebagai rujukan untuk semua.
Isi-isi penting
- Menghormati dan memberikan kasih sayang kepada mereka
- Memastikan kebajikan dan keselamatan mereka
- Mendedikasikan kejayaan kepada mereka
- Mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik
- Mendengar nasihat dan mencari keredhaan ibu bapa
- Mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa bagi yang telah tiada
Pendahuluan
Dalam mendepani era modenisasi pada hari ini, pelbagai masalah dan cabaran yang perlu kita hadapi dari masa ke semasa sebagai ahli masyarakat sejagat. Norma kehidupan masyarakat berubah-rubah seiring dengan perkembangan sains dan teknologi. Begitu juga adab dan tingkah laku manusia yang menjadi semakin kurang beretika dan tidak hormat-menghormati seperti dahulu kala.
Pengaruh asing dan budaya tidak beretika ini mudah diikuti oleh golongan remaja atau kanak-kanak kerana terpedaya dan tidak tahu kesan daripada tindakan mereka. Malah demi mengejar kerjaya atau harta dunia, golongan muda mengabaikan ibu dan bapa mereka yang sebelum ini bersusah payah untuk membesarkan mereka. Oleh yang demikian, penting untuk kita ketahui apakah kewajipan anak terhadap ibu bapa supaya setiap di antara kita menjalankan amanah tersebut demi kemaslahatan bersama.
Isi 1
Salah satu tanggungjawab utama seorang anak terhadap ibu bapa adalah menghormati dan memberikan kasih sayang kepada mereka. Bagi anak-anak yang masih belum mempunyai pekerjaan, anda seharusnya menghormati ibu dan bapa dengan mendengar nasihat yang baik oleh mereka. Tamsilnya, nasihat untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjaga diri dengan baik supaya tidak terpengaruh dengan perkara yang sia-sia.
Kasih dan sayang kepada orang tua kita juga boleh ditunjukkan dengan meluangkan masa bersama mereka. Jika mempunyai peluang untuk meluangkan masa bersama, penting untuk kita melakukan sebarang aktiviti seperti memasak bersama atau membasuh kereta bersama sebagai tanda menghargai diri ibu dan bapa. Hal ini kerana apabila mereka sudah tiada, kenangan tersebut hanyalah tinggal sebagai memori dalam ingatan masing-masing. Intihannya, sikap hormat dan memberikan kasih sayang kepada ibu bapa adalah salah satu kewajipan anak-anak.
Isi 2
Pada masa yang sama, anak-anak seharusnya memastikan kebajikan dan keselamatan ibu bapa sebagai tanggungjawab masing-masing. Sewaktu kita kecil, ibu dan bapa telah mengorbankan kudrat mereka untuk memastikan kebajikan dan keselamatan kita sehingga menjadi dewasa. Maka, apabila kita telah mencapai satu tahap kedewasaan, kita pula sewajarnya memastikan kebajikan dan keselamatan ibu bapa terjamin.
Bagi anak-anak yang sudah mempunyai kerjaya yang stabil, mereka seharusnya meluangkan masa dan tenaga untuk menjenguk kehidupan ibu bapa di kampung. Pastikan kesihatan diri mereka berada pada tahap yang baik. Jika terdapat penyakit pastikan ubat dimakan dan pemeriksaan doktor dihadiri pada waktu yang ditetapkan. Langkah-langkah ini dapat membantu mengurangkan beban mereka dan membuatkan ibu dan bapa rasa dihargai oleh anak-anak mereka.
Isi 3
Tanggungjawab lain seorang anak terhadap ibu bapa adalah mendedikasikan kejayaan yang dikecapi diri kepada mereka. Sebagai contoh, apabila anda sebagai seorang pelajar menyertai sebuah pertandingan di peringkat sekolah, pasang tekad untuk memenangi pertandingan tersebut demi membanggakan ibu dan bapa. Segala apa jenis kejayaan yang kita kecapi, ibu dan bapa pasti akan rasa bahagia dan bangga terhadap darah daging mereka.
Lebih-lebih lagi kejayaan dalam bidang akademik yang berterusan sehingga mendapat kerjaya yang baik. Segala pengorbanan dan penderitaan yang dihadapi oleh ibu dan bapa akan rasa dibalas apabila melihat anak mereka berjaya dalam hidup menjadi seorang manusia yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan juga negara. Izharnya, mendedikasikan kejayaan kepada ibu dan bapa adalah antara kewajipan anak-anak terhadap orang tua masing-masing.
Isi 4
Seiring dengan tanggungjawab di atas, anak-anak juga seharusnya membantu mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik daripada sebelum ini. Pasca kemerdekaan, ramai di antara masyarakat kita berasal dari kawasan kampung dan tidak mempunyai harta yang banyak. Namun selepas beberapa dekad, pelbagai peluang pekerjaan dan peningkatan ekonomi berlaku yang membolehkan kebanyakan masyarakat untuk berada di golongan pertengahan.
Hal ini merupakan salah satu tanggungjawab anak-anak untuk belajar sehingga ke menara gading dan mendapatkan kerjaya yang stabil. Kaedah ini dapat memastikan keluarga, masyarakat dan negara kita untuk terus berkembang dengan kemajuan dunia pada hari ini. Tuntasnya, anak-anak bertanggungjawab untuk mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik kerana peluang dan kemudahan yang lebih baik berbanding zaman ibu dan bapa kita.
Penutup
Konklusinya, anak-anak mempunyai banyak tanggungjawab yang seharusnya dilaksanakan dengan penuh amanah terhadap ibu dan bapa. Amanah yang diberikan oleh Tuhan ini wajar kita tunaikan bagi mendapat keredhaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat kelak. Sepasang ibu dan bapa mampu untuk menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu untuk menjaga sepasang ibu dan bapa. Generasi hari ini perlu membuktikan kenyataan tersebut tidak tepat dengan sentiasa menjaga ibu dan bapa kita dengan langkah-langkah yang telah dihuraikan. Ibarat peribahasa, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah. Semoga keluarga yang sakinah membawa rahmah kepada masyarakat dan keharmonian kepada negara.
Related : riwayat muslim, anak perlu
sebaik baik
ع ل ي ه و س ل م
kedua dua orang tua
untuk ibu bapa
kedua ibu bapanya
anak yang soleh
ح م ه م ا ك م
meninggal dunia
و ال د
berbuat baik kepada ibu bapanya
terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara
bercakap dengan lemah lembut
ahli keluarga
ب ي ان ي ص غ
ر س ول الل ه
rasulullah saw bersabda
ب ي ه و س ل م