Senarai Negeri Yang Bercuti Pada Nuzul Al-Quran 2025. Bilakah tarikh Nuzul Al-Quran tahun 2025 di Malaysia? Nuzul Al-Quran adalah merupakan satu peristiwa penting bagi umat Islam di bulan Ramadan yang mulia. Peristiwa ini diraikan sebagai tanda mengingati tarikh permulaan turunnya Al-Quran yang di wahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.
Peristiwa Nuzul Al Quran juga merupakan cuti umum kepada beberapa buah negeri di Malaysia yang tahun ini jatuh pada tarikh 17 Ramadhan 1446H.
Tarikh Nuzul Al-Quran 2025 Dan Senarai Negeri Yang Bercuti
Berikut adalah perkongsian maklumat tentang Peristiwa Nuzul Al Quran meliputi tarikh sambutan dan negeri-negeri yang mengambil cuti umum semasa tarikh ini.
Tarikh Nuzul Al-Quran 2025 | |||
18 Mac 2025 (Hari Selasa) | 17 Ramadhan 1446H |
Negeri-negeri yang mengisytiharkan Nuzul Al-Quran sebagai Cuti Umum | |||
PERLIS | SELANGOR | PULAU PINANG | |
PERAK | TERENGGANU | WP KL, PUTRAJAYA DAN LABUAN | |
KELANTAN | PAHANG | – |
Peristiwa Nuzul Al-Quran
Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Ianya berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak se ekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
Isi Kandungan Al-Quran Adalah Benar
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Sumber FB Sahabat Yadim UMT
Selamat bercuti buat mereka yang tinggal di negeri-negeri yang bercuti pada tarikh Nuzul Al-Quran tahun 2025.